Pukul 9.00 pagi, 20 Disember 2011. Saya tidak akan lupa tarikh dan masa itu. Ketika menyidai baju diampaian, terdengar perbualan dua jiran.
Salah seorang memberitahu ada seekor kucing ditepi jalan, didepan rumah besar. Menurut perbualan kucing yang dimaksudkan mungkin digigit anjing. (pembela kucing sesungguhnya kita tahu apa rasanya)
Mendengar perbualan jiran tentu kucing yang dimaksudkan sudah menjadi mangsa. Saya bergegas menuju ke tempat yang dimaksudkan dengan motor. Sebuah beg kertas turut saya bawa.
Saya mengelilingi kawasan perumahan sebanyak dua kali. Pandangan saya tertancap seekor kucing berbulu kelabu asap dipinggir jalan yang berlumpur hitam. Saya tidak dapat lupa pandangan kucing itu. Dia mengiau apabila saya hampiri. Saya hanya melihat luka pada bahagian kemaluan itu. Ada najis disisinya.
Tentu semalaman dia disitu. Tentu perit sekali digigit anjing dan terbiar kedinginan sepanjang malam dipinggir jalan itu. Saya segera memasukan kucing berbulu tebal itu ke dalam beg kertas dan membawanya pulang. Botol minyak gamat, kapas dan air saya ambil segera. Saya percaya pada keajaiban minyak gamat. Kucing saya bernama Adik Ceri, juga seekor kucing jalanan yang saya ambil, mengalami luka besar hingga menampakkan tulang dan daging dibelakang badan. Syukur dengan sapu minyak gamat secara tekal pada bagaian luka selama sebulan, luka adik Ceri hilang tanpa sebarang parut.
Perlahan-lahan saya menyapu minyak gamat pada bahagian luka kucing tersebut. Dia mengiau lemah, tentu kerana sakit. Saya memakai plastik sebagai alas tangan kerana takut kuman air liur yang tersisa ditubuh kucing itu merebak. Picagari saya ambil didapur, air saya masukkan ke dalam mulut kucing itu melalui sisi mulut agar tidak masuk ke paru-paru.
Saya nekad untuk membawa kucing itu ke klinik haiwan di Bandar Baru Selayang. Saya tawakal dengan membawa si comel ke klinik menaiki motor. Saya tahu kucing itu sakit dan temtunya tidak selesa di dalam beg kertas sepanjang perjalanan selama 15 minit itu. Tiba di klinik doktor terus mengangkat bendera putih. Menurut doktor, luka si comel terlalu serius dan memerlukan rawatan rapi. Kata doktor juga, Si Comel tiada harapan lagi. Setelah bulu dibahagian pinggul dicukur, barulah saya dapat melihat betapa besar luka kucing tanpa nama itu. Seluruh tisu (kulit) pinggul sudah tiada malah salur usus juga sudah kelihatan.
Saya bawa perlu Si Comel ke Hospital Veterinar Gasing, di Petaling Jaya. Sebelum itu doktor memberi suntikan sedatif, suntikan separuh diberi agar si comel dapat bertahan daripada sakit. Ketika saya mahu membuat pembayaran, seorang wanita berambut perang masuk bersama anak kecil. Dia terkejut melihat keadaan si comel. Wanita itu murah hati membayarkan kos perubatan si comel, syukur Alhamdulillah, rasa kasihan kita pada makhluk lain dapat dirasai bersama.
Sepanjang perjalanan hampir 40minit dari Selayang ke Petaling Jaya, Si Comel terus diam. Dia yang saya letak didalam beg sandang tergantung baik dibahagian depan tubuh. Air mata saya mengalir sepanjang perjalanan. Sesekali berhenti dilampu isyarat merah, saya mengusap lembut kepala Si Comel yang memandang saya. Sayu pandangannya. Wajah dan pandangan Si Comel tidak akan saya lupakan. Pandangan yang sarat rasa sakit dan lemah. Luluh hati mendengar Si comel megiau sakit, seakan-akan sedang menangis seperti anak kecil. Kalau manusia pun sakit menanggung derita, apatah lagi Si Comel yang tidak tahu apa-apa. Dalam hati saya berdoa agar Allah swt ringankan sakit Si Comel.
Di Hospital Gasing, Si Comel mendapat perhatian Dr. Prem dengan segera. Doktor memeriksa nadi Si Comel dari wajahnya saya tahu Si Comel benar-benar kritikal. "Oh he's so critical." keluh Doktor Prem. Ekor Si Comel diangkat, Tiada reaksi. Dr. Prem mengetuk kaki Si Comel dengan tukul, juga tiada reaksi.
"Awak lihat disini, semua muscle nya sudah tiada. His colon is okay but dia punya muscle semua dah tak ada. Kalau dia sedar dan masih tidak boleh gerakan kaki itu tandanya dia sudah lumpuh sebab sudah hilang muscle.." Saya bersandar pada dinding, terasa pitam. Dr. Prem segera memegang tangan saya. Doktor Prem mecukur bulu ditangan kanan dan memasukan air ke dalam badan Si Comel.. "Tak apa doktor rawat dia" tegas saya. Kata doktor kalau Si Comel hidup pun dia tak kan mampu uruskan dirinya. Najis nya juga akan keluar sepanjang masa tanpa dapat dikawal tubuh. Kos rawatan hayatnya juga sangat tinggi. Kucing yang kena gigit anjing selalunya akan mati, kerana enzim dalam air liur anjing yang masuk ke dalam saraf akan menyebabkan kucing mati dalam masa dua atau tiga hari. Waktu itu kami hanya berserah.
Satu malam Doktor Prem sms saya memberitahu keadaan Si Comel yang semakin lemah. Suntikan telah diberi dan Si Comel menemui ajal dalam keadaan yang menderita sakit. Selasa 21.12.2011, saya tiba di hospital gasing untuk mengambil jasad Si Comel. "Do you want to take back the cat or just let us handle?" tanya Dr. Prem. "Kalau disini dia akan ditanam?" tanya saya. "No. Kami bakar." "Oh! tak apalah saya bawa balik dia dan tanam."
Seorang pekerja membawa saya ke belakang.Si Comel sudah di dalam peti beku. Hati saya runtun. Rasa sangat pilu saya gagal bantu dia! Saya tekenang detik pertama melihat dia, wajahnya yang comel suara yang penuh rasa sakit. Bercucuran air mata saat saya sendiri yang menggali pusaranya.
Jujur, saya tak akan melupakan Si Comel tanpa nama. Saya sayang padanya. Saya mohon maaf kerana tidak dapat membantu dirinya yang sakit. Namun dia sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman saya. Semoga Si Comel aman disisi-Nya. Sungguh, saya terlalu menyayangi kucing itu walaupun hanya seketika pertemuan kami. Semoga Si Comel tahu saya benar-benar mengasihinya.. :'(
Penulisan : Wardah Munirah (MASTIKA)
|
Bulatan merah : Separuh kemaluan dan punggungnya digigit anjing :'( |
|
Bulatan merah : Sayu wajah Si Comel menahan sakit. |